˄

15.11.2018
Memperluas Peranan MABIMS ke Dunia Luar



Jerudong, Khamis, 15 November 2018 – Negara Brunei Darusalam akan melaksanakan satu projek secara kerjasama bersama negara Anggota Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dalam menghasilkan Buku Tafsir Ilmi bermula pada tahun ini.

 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika menyampaikan Ucapan Sambutan sempena Pertemuan Tidak Rasmi MABIMS  Ke 18 yang berlangsung di The Empire Hotel & Coutry Club.

 

Menurut Yang Berhormat, mereka mengambil iktibar atas kejayaan Republik Indonesia menghasilkan Tafsir Ilmi, yang mana inisiatif untuk bekerjasama bagi menghasilkan Tafsir Ilmi acuan MABIMS adalah sangat bertepatan masanya.

 

Yang Berhormat berharap sumbangan sedemikian bukan sahaja akan dapat dijadikan bahan rujukan di rantau ini, malah akan dapat merentasi lebih jauh lagi dalam usaha mereka memperluas lagi peranan mereka ke dunia luar dengan sumbangan keilmuan Islam yang sahih dan selamat aman daripada sebarang manipulasi mencemarkan kesuciannya.

 

Terdahulu itu, Yang Berhormat berkata pada umumnya, Islam Liberalisasi adalah menganggap agama sebagai halangan kepada kemajuan lalu mengajak ke arah pemikiran dan seterusnya gerakan social politik untuk meliberalkan agama, iaitu agama Islam yang telah membentuk dan mencorakkan social politik Nusantara zaman berzaman.

 

"Ternyata sepanjang sejarah pula membuktikan agama Islam kita semakin kukuh menjadi anutan majority rakyat di Indonesia, Malaysia dan  Negara Brunei Darussalam, di mana Islam menjadi sebahagian factor yang turut mencorak negara menerusi system social dan undang-undangnya tanpa menjejaskan proses pembangunan dan kemajuan negara.

 

Sementara di Republik Singapura mempersaksikan kepada kita dan dunia bahawa masyarakatnya yang berugama Islam dengan kekal pegangannya kepada Islam menjadikan mereka masyarakat dan rakyat yang progresif.

 

Pendek kata : pengalaman, iaitu setakat yang kita berkenan di negara-negara kerjasama MABIMS ini Islam itu adalah faktor penting yang mengekalkan identitas bangsa dan negara di Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Republik Indonesia atau dalam konteks Republik Singapura adalah masyarakat Melayu-Islamnya", ujar Yang Berhormat lagi.

 

Oleh itu tekannya, isu-isu liberalisasi Islam tinggal menjadi cabaran kepada mereka, tetapi dengan keyakinan bahawa anutan dan pegangan kepada ajaran Islam itu telah menjadi darah daging penganutnya.

 

Maka cabaran itu jelasnya, akan sentiasa dihadapi dengan bijak dan tepat, yang mana dalam menghadapi cabaran itu, mereka sentiasa memilih pendekatan memelihara perpaduan sesama Islam di negara-negara masing-masing untuk menyumbang kepada perpaduan nasional, keamanan dan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum dan berlainan kepercayaan ugama.

 

Bagi Negara Brunei Darussalam menurutnya, pendekatan ke arah itu ialah dengan pendidikan serta dakwah yang diperkuat dengan kuatkuasa undang-undang, yang mana ia tidak dianggap sebagai cara yang mudah bahkan suatu usaha yang berkehendakkan kecekalan, kecekapan dan kebijaksanaan.

 

"Di samping itu, kami yakin bahawa MABIMS dapat merumuskan suatu platform bersama bagi kerjasama yang setentunya suatu yang selari dan serasi dengan kondisi serta situasi negara anggota.  Brunei berharap isu mengenai liberalisasi agama ini dapat diterjemahkan kepada program-program di bawah Bidang Kerjasama Strategik MABIMS supaya ia betul-betul ditangani secara sistematik dan teratur,; jelasnya lagi.

 

Ujar Yang Berhormat lagi, Negara Brunei Darussalam juga percaya pengalaman-pengalaman yang dikongsikan oleh setiap negara anggota MABIMS berserta resolusi yang dihasilkan akan dapat dijadiakan satu kesepakatan untuk ditangani bersama dalam sama-sama menjaga kemaslahatan umat Islam di rantau ini.

Sumber dari Pelita Brunei, Hari Sabtu, 17 November 2018.

Manage PermissionsManage Permissions
Attachments