˄

02.01.2019
TIMBA ILMU UNTUK UBAH NASIB



BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Urusetia Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) telah menghantar empat orang asnaf zakat yang terpilih untuk mengikuti latihan kemahiran dan melanjutkan pengajian di Institut Kemahiran Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kuala Lumpur, Malaysia.

Dua orang daripada mereka merupakan peserta yang baru disokong untuk mengikuti latihan kemahiran di Institut Kemahiran Baitulmal ini. Mereka terdiri daripada Awang Abdul Hafeez bin Awang Mohamad dan Awang Muhammad Shah Bidin bin Jumat.

Kedua peserta ini akan mengikuti Kursus Seni Lukis dan Seni Reka, iaitu satu bidang kursus yang mendedahkan pelajar mengenai kemahiran pelbagai teknik cetakan, asas rekaan berkomputer, kemahiran amali, pengurusan, pemasaran, pengedaran dan pembangunan teknologi dalam industri percetakan secara grafik.

Sementara dua orang lagi peserta adalah peserta yang telah selesai menamatkan latihan kemahiran tahun pertama di institut berkenaan pada awal Disember yang lalu, dan pada tahun 2019 ini, kedua peserta tersebut telah ditawarkan untuk mengikuti pelanjutan pengajian bagi tahun kedua.

Mereka ialah Awang Muhammad Nur Hazwan Syafiee bin Razimi yang mengikuti Kursus Teknologi Binaan Bangunan dan Awang Mohammad Zulhilmi bin Ajak mengikuti Kursus Perkhidmatan dan Penyajian Makanan.

Majlis Doa Selamat sempena penghantaran empat orang peserta berkenaan diadakan di Ruangan Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas. Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop dan Penolong Setiausaha MUIB, Haji Hamzah bin Haji Sabtu.

Program penghantaran asnaf zakat ini adalah hasil daripada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) ke-42 bagi Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) pada 25 hingga 28 Oktober 2017 di Yogyakarta, Indonesia yang membincangkan Bidang Kerjasama 3: Meningkatkan Taraf Hidup Umat Islam Yang Memerlukan.

Susulan daripada kesepakatan tersebut, kerajaan Malaysia melalui MAIWP Kuala Lumpur telah menawarkan peluang kepada asnaf yang berkelayakan dari Negara Brunei Darussalam untuk mengikuti latihan kemahiran di Institut Kemahiran Baitulmal, MAIWP Kuala Lumpur, Malaysia.

Tempoh latihan kemahiran adalah selama 12 bulan dan sepenuhnya dijalankan di institut kemahiran tersebut. Manakala tempoh bagi pelanjutan pengajian di tahun kedua juga selama 12 bulan, di mana selain menjalani latihan di dalam institut berkenaan, peserta juga akan menjalani penempatan kerja seperti yang telah diaturkan oleh pihak penganjur.

Dengan peluang yang diberikan ini, maka ia akan dapat membentuk dan menghasilkan asnaf zakat yang terlatih, berkeyakinan dan berilmu pengetahuan sejajar dengan kemajuan industri negara luar dan seterusnya akan keluar daripada lingkaran kemiskinan.

Dipetik dari Media Permata, Hari Rabu, 02 Januari 2019

Manage PermissionsManage Permissions
Attachments