˄

15.11.2018
Kunjungan Dua Hala Kongsi Pengalaman Bidang Keagamaan



Jerudong, Khamis, 15 November 2018 – Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) Kali Ke 18 mengadakan kunjungan dua hala secara berasingan berlangsung di Bilik Syndicate 1 dan 2, The Empire Hotel & Country Club.

 

Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah tahun ini yang diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman menerima kunjungan secara berasingan daripada Ketua-Ketua Delegasi MABIMS.

 

Mula-mula Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam menerima kunjungan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof, diikuti dengan kunjungan daripada Menteri Agama Republik Indonesia, Yang Terhormat Bapak Lukman Hakim Saifuddin dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air dan Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Republik Singapura, Yang Berhormat Encik Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad.

 

Kunjungan tersebut bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada di antara Negara Brunei Darussalam dan negara anggota MABIMS yang lain.

 

Selain itu, kunjungan juga memberikan peluang kepada menteri-menteri tersebut bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam perkara yang menjadi kepentingan bersama serta meneroka peluang kerjasama di antara kedua-dua buah negara dalam bidang keagamaan.

 

Ketua-Ketua Delegasi MABIMS tersebut berada di negara ini bagi menghadiri Pertemuan Tidak Rasmi MABIMS Ke 18.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dan Timbalan Setiausaha Tetap (Bahagian Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.

 

Sumber dari Pelita Brunei, Hari Sabtu, 17 November 2018.

Attachments