Bandar Seri Begawan, Khamis, 15 November 2018 - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan berkenan menerima mengadap Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura yang berada di Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) Ke-18.
Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Qashr Al-Meezan.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima mengadap Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Agama Republik Indonesia, Yang Terhormat Bapak Lukman Hakim Saifuddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air dan Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Republik Singapura, Yang Berhormat Encik Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad.
Turut hadir pada Majlis Mengadap tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar serta Pegawai-Pegawai Kanan bagi Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura yang juga menghadiri Mesyuarat Peringkat Pegawai-Pegawai Kanan (Senior Officials Meeting-SOM).
MABIMS merupakan satu bentuk kesepakatan serantau yang bergerak atas dasar keagamaan bagi menjaga maslahat dan kepentingan umat Islam tanpa mencampuri hal-hal negara-negara anggota yang bersifat politik. MABIMS ditubuhkan pada 7 Ogos 1989 dan telah mengadakan pertemuan yang pertama di Bandar Seri Begawan.
Tema bagi Pertemuan MABIMS Ke-18 ialah Islam Liberal - Isu dan Cabaran Serta Usaha Membendungnya.
Tema ini dipilih dengan mengambil kira isu-isu liberalisasi yang menjadi satu ancaman kepada pemahaman dan pemikiran masyarakat Islam di Nusantara ini yang berpegang teguh dengan pemahaman berugama mengikut aliran Ahli Sunnah Waljamaah.
Pemikiran Liberal ini mudah diserapkan ke dalam pemikiran masyarakat dengan menanamkan ideologi kefahaman Islam yang kononnya lebih terbuka dan mengajak kepada penafsiran semula nas-nas Al-Quran dan Al-Hadith mengikut pemahaman baharu dan logik akal semata-mata. Tema in bertujuan untuk mendorong negara anggota MABIMS mencari pendekatan dan berkongsi pengalaman negara anggota dalam menghadapi dan mencari kaedah untuk membendung perkembangan Islam Liberal ini.
Pertemuan MABIMS ini didahului oleh SOM yang telah diadakan pada 12 hingga 14 November 2018.
Sumber dari : Pelita Brunei, Hari Sabtu 17 November 2018.