˄

Pengenalan


MABIMS atau nama penuhnya Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura adalah merupakan suatu bentuk kesepakatan serantau yang bergerak atas dasar keagamaan bagi menjaga maslahat dan kepentingan umat Islam tanpa mencampuri hal-hal yang bersifat politik negara-negara anggota. 

Menteri-Menteri Agama yang memikirkan perlunya ada kerjasama yang rapat antara negara-negara anggota MABIMS dalam bidang keagamaan ialah Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd. Zain bin Haji Serudin, Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam, Yang Terhormat Haji Munawir Sjadzali M.A Menteri Hal Ehwal Agama, Republik Indonesia dan Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad Yusof bin Haji Mohamed Noor, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Malaysia.

Perkataan MABIMS singkatan kepada Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

MABIMS mula ditubuhkan pada Hari Isnin, 5 Muharram 1410 bersamaan 7 Ogos 1989 dengan mengadakan pertemuan yang pertama di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. 

Sejak penubuhannya hingga kini, kesepakatan ini dianggotai oleh empat buah negara yang terdiri daripada Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.


VISI
Mengukuhkan lagi kesatuan dan menjadikan umat Islam di Negara Anggota MABIMS umat yang progresif yang cintakan kedamaian dan keharmonian yang membawa rahmat kepada seluruh alam serta menjadi rujukan bagi pembangunan umat Islam di dunia.

MISI
Meningkatkan tahap kerjasama dalam membangun umat Islam di Negara Anggota MABIMS (dalaman) dari aspek-aspek daya tahan keagamaan dan mutu kehidupan beragama serta kesejahteraan sosio-ekonomi.

Meningkatkan peranan MABIMS dalam program-program pembangunan dan kemanusiaan di luar rantau MABIMS (luaran) demi memperkukuh imej Islam yang positif di mata dunia.