Bandar Seri Begawan, Selasa, 13 November 2018 – Pertemuan Tahuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali Ke-17 diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada Disember 2016 dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS Kali Ke-41 dan 42 bersetuju bagi Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS Kali Ke-43 dan seterusnya Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi MABIMS Kali Ke-18 tahun ini.
SOM MABIMS Kali Ke-43 bermula hari ini hingga 14 November 2018. Delegasi dari Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Delegasi Indonesia diketuai oleh Sekretaris Jenderal Kementerian Agama Republik Indonesia, Yang Terhormat Bapak Prof. Dr. Phil. H. Mohamad Nur Kholis Setiawan M.A; Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Yang Berbahagia Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim dan Delegasi Singapura diketuai oleh Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura, Encik Haji Abdul Razak Hassan Maricar.
Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah tahun ini mengambil inisiatif supaya pembentangan Kertas Tema kali ini dibuat dalam format forum dan dibentangkan di hadapan audien.
Tajuk forum Kertas Tema SOM MABIMS Kali Ke-43 ialah "Islam Liberalisasi : Isu dan Cabaran Serta Usaha Membendungnya".
Majlis diadakan di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat pada forum tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan jemputan-jemputan khas.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Pegawai Pelajaran di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Awang Zulhafiz bin Haji Awang Tengah.
Forum dipengerusikan oleh pegawai di Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohd. Jaya bin Haji Metussin.
Pembentang Singapura ialah Penolong Pengarah Pejabat Skim Pengiktirafan Asatizah, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Republik Singapura, Ustaz Mahmoud Mathlub membentangkan kertas kerja mengenai 'Islam Liberalisasi Isu dan Cabaran Serta Usaha Membendungnya – Pengalaman Singapura'; Kepala Badan Penelitian dan Pengembangan Pendidikan dan Pelatihan (Kepada Badan Litbang dan Diklat) Kementerian Agama Republik Indonesia (KEMENAG) Republik Indonesia, Prof. H. Abd. Rahman Mas'ud pula membawakan kertas kerja 'Islam Liberal dan Permasalahannya : dan Pengalaman Indonesia', manakala Pegawai Perundangan Syariah Tingkat Khas, Unit Perundangan Islam, KHEU, Negara Brunei Darussalam, Dr. Noryati binti Haji Ibrahim membentangkan 'Islam Liberalisasi : Isu dan Cabaran serta Usaha Membendungnya – Pengalaman Negara Brunei Darussalam', sementara Pembentang dari Malaysia, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yang Berbahagia Datuk Prof. Dr. Azizan binti Baharuddin membawakan kertas kerja 'Islam Liberalisasi : Isu, Ancaman, Cabaran dan Usaha Membendungnya – Pengalaman Malaysia'.
Acara diserikan dengan Dikir Syarafil Anam yang dibawakan oleh pegawai dari JPI, KHEU, Negara Brunei Darussalam. Acara diakhiri dengan bacaan Sayyidul Istighfar beramai-ramai diketuai oleh Pegawai Pelajaran Ugama, JPI KHEU, Awang Zamery bin Haji Nayan dan seterusnya membacakan Doa Selamat.
Sumber dari Pelita Brunei, Hari Rabu, 14 November 2018.