BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Delegasi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekretariat MABIMS diseru untuk membuat apa jua perancangan dalam kerangka Pelan Strategik MABIMS yang akan ditangani bersama selama lima tahun akan datang dengan berpaksikan kepada Prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Perkara berkenaan disuarakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof selaku ketua SOM Negara Penghubung Tetap MABIMS 2019–2020 dan pengerusi mesyuarat berkenaan yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini di salah sebuah hotel di Gadong.
Semasa mempengerusikan mesyuarat itu, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyentuh mengenai betapa ekonomi memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan sesebuah negara.
Beliau seterusnya berharap delegasi akan mengambil kesempatan semasa mesyuarat tersebut untuk bersama-sama merangka inisiatif yang memberi impak kepada peningkatan taraf ekonomi umat Islam di negara anggota MABIMS.
Mesyuarat diselajurkan dengan dua program iaitu Bengkel Penyediaan Pelan Strategik MABIMS bagi Tahun 2021 hingga 2025 yang dikendalikan oleh Unit Muraqib, KHEU serta Mesyuarat Jawatankuasa Pandu Penerbitan Tafsir Ilmi Negara Anggota MABIMS.
Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) ke-18 yang berlangsung di Brunei tahun lalu telah bersetuju bagi Negara Brunei Darussalam menjadi negara penghubung tetap bagi MABIMS selama dua tahun bermula tahun ini.
Sebagai negara penghubung tetap, Brunei melalui KHEU akan bertanggungjawab menyelaraskan keputusan dan apa jua perancangan yang diputuskan di Pertemuan MABIMS dan Mesyuarat SOM MABIMS yang lalu.
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekretariat MABIMS dihasratkan untuk bersama-sama mencapai sasaran dan matlamatnya melalui percambahan fikiran, perkongsian pengalaman dan maklumat serta mencari jalan ke hadapan bagi memperkasakan MABIMS dalam mengukuhkan kesatuan serta meningkatkan kerjasama dalam membangun umat Islam di negara anggota MABIMS.
Antara yang hadir selaku delegasi negara anggota MABIMS ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Sekretaris Badan Penelitian dan Pengembangan serta Pendidikan dan Pelatihan Profesor Dr H Moh Isom, M Ag dari Kementerian Agama Indonesia; Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura, Mohd Fahmi Aliman.
Dipetik daripada Media Permata, Rabu, 10 Julai 2019.