BANDAR SERI
BEGAWAN, Isnin, 26 Ogos. – Seramai enam peserta Negara Brunei
Darussalam akan menyertai Program Leadership Training Belia MABIMS yang akan
bermula pada 27 hingga 30 Ogos nanti di Bandungan, Semarang, Jawa Tengah,
Republik Indonesia.
Peserta
akan diketuai oleh pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang
Amalhayati binti Haji Amit selaku Ketua Rombongan dan Awang Mohamad Hazrin bin
Daud.
Juga
menyertai rombongan, para belia dan beliawanis daripada Kumpulan Belia Da'ie
dan Kumpulan Belia Masjid, iaitu Awang Ahmad Rashidi bin Haji Ansanawi, Awang
Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin, Awang Khairul Nazih Wa'ie bin Zakeria dan
Dayang Siti Hurul-Ain Diyana binti Haji Abdul Majid @ Vieana.
Berada di
Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar, Pengarah
Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh.
Program di
bawah Bidang Kerjasama MABIMS, iaitu 'Membangun Potensi Belia' ini akan
menekankan aspek 'Millennial Leadership' yang memerlukan kepada pendekatan
baharu dalam bidang kepimpinan, antaranya memahami ciri-ciri generasi
millennia, berbanding dengan generasi-generasi sebelumnya dan menghadapi
cabaran terhadap generasi millennia, terutama sekali yang berkaitan dengan
teknologi, komunikasi, media sosial, peningkatan dan pengawalan stres juga isu
kesihatan.
Selain
itu, program juga menekankan aspek ke arah meningkatkan keupayaan fizikal dan
mental yang diperlukan sebagai generasi millennia dan menguatkan kematangan
emosi juga jiwa generasi millennia dalam sudut pandang mereka terhadap budaya
dan agama.
Program
yang dilaksanakan sejak tahun 2006 di bawah bidang kerjasama ini diterajui oleh
Republik Indonesia sebagai negara penyelaras dan merupakan program berkumpulan
yang disertai oleh belia-belia dari empat negara anggota MABIMS, iaitu Negara
Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.
Menerusi
program seumpama itu diharap para peserta akan dapat memanfaatkan dapatan
daripada program berkenaan, bukan saja pada diri mereka sendiri, bahkan
mengongsikannya kepada organisasi yang diwakili ke arah melahirkan golongan
belia (generasi millennia), berpotensi untuk menjadi pemimpin berwibawa pada
masa hadapan.
Petikan
Pelita Brunei Keluaran Rabu, 28 Ogos 2019.