BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Enam orang belia Negara Brunei
Darussalam yang berumur 30 tahun ke bawah telah berlepas ke Kuala Lumpur,
Malaysia pada hari ini bagi menyertai Program Eksplorasi Dakwah Belia MABIMS
yang akan berlangsung sehingga 24 September, di Institut Latihan Islam Malaysia
(ILIM), Bangi, Selangor, Malaysia.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa
Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Ketua Bahagian Antarabangsa dan
MABIMS, Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim serta pegawai-pegawai dari
Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Peserta negara terdiri daripada Pegawai
Pelajaran di Sekolah Ugama Merangking, Mukim Labi, Daerah Belait, Haji Mohd
Ezwan bin Haji Ali selaku ketua rombongan, Pegawai Pelajaran di Sekolah Arab
Temburong, Haji Muhammad Asri bin Haji Timbang, tiga orang belia daripada
Kumpulan Belia Da’ie dan Kumpulan Belia Masjid iaitu Awang Mohd Firas bin
Kalong @ Ibrahim, Awang Ahmad Luqman bin Haji Mohammad dan Awang Muhammad
Saiful Dafi @ Suanddy bin Muhammad Suhaimi serta seorang mahasiswa Kolej
Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awangku Muhammad Ridhauddin bin
Pengiran Mohd Amin.
Program di bawah bidang kerjasama MABIMS
iaitu ‘Membangun Potensi Belia’ itu pertama kali diadakan dengan Malaysia
selaku negara penganjur.
Penganjurannya bertujuan untuk membangunkan
potensi belia MABIMS dalam aspek kepimpinan, komunikasi dan dakwah yang mampu
meningkatkan hubungan interpersonal dan intrapersonal dalam kalangan pemimpin
belia melalui pendekatan secara santai dan ilmiah bertepatan dengan konsep rahmatan
lil ‘alamiin.
Ia merupakan program berkumpulan yang
disertai oleh belia-belia dari empat buah negara anggota MABIMS iaitu Negara
Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.
Di samping itu, program berkenaan juga
adalah untuk mempertingkatkan lagi perancangan dan penyelenggaraan
program-program belia di peringkat MABIMS melalui memperteguh silaturahim dan
jalinan kerja (networking) antara pemimpin belia MABIMS.
Haji Mohd Ezwan semasa ditemui Media
Permata mengongsikan antara lain tujuan mengikuti program tersebut
ialah bagi melatih diri para peserta dakwah belia MABIMS untuk mempertahankan
diri mereka semasa membuat pengucapan umum, merasa yakin dan tidak gentar dalam
menghadapi orang ramai berdasarkan agama Islam, berdakwah menuju Islam, dan
kemudiannya mendekatkan orang ramai kepada agama Islam.
Beliau juga menyatakan bahawa para
peserta dipilih oleh pihak MABIMS berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.
“Antaranya
adalah cemerlang dalam aktiviti-aktiviti belia sepanjang tahun di masjid-masjid
dan juga sumbangan-sumbangan yang mereka buat kepada orang ramai yang berkaitan
dengan keagamaan,” kongsinya.
Beliau berharap agar sepanjang
eksplorasi dakwah dijalankan, semua peserta akan dapat menerapkan ilmu yang
dikongsi sepanjang program dan digunakan sebagai satu tunjang untuk menyebarkan
dakwah Islam.
Petikan dari Media Pertama, Jumaat, 20 September
2019.