Bandar Seri Begawan, Ahad, 10 November 2019M-Seramai Dua (2) orang peserta Negara Brunei
Darussalam yang terdiri daripada pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu
Dayang Hajah Omi Klsum binti Haji Mohd Noor, Ketua Unit Muraqib, Pejabat
Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Ketua Rombongan dan
Dayangku Nur Hidayatul Hafiyyah binti Pengiran Dato Paduka Haji Othman, Ketua
Muslimah, Kumpulan Belia Masjid Ash-Shaliheen telah berlepas meninggalkan
negara pagi tadi bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bidang
Kerjasama MABIMS “Meningkatkan Harmonisasi Masyarakat” dan seterusnya
menyertai Bengkel Perkongsian Hubungan Antara Agama–Pengalaman Republik
Singapura.
Mesyuarat akan berlangsung selama dua hari bermula
pada 10 hingga 12 November 2019M di Pusat Harmoni, Republik Singapura.
Mesyuarat ini di bawah Bidang Kerjasama MABIMS iaitu
“Meningkatkan Harmonisasi Masyarakat”. Republik Singapura selaku negara
penyelaras Bidang Kerjasama ini. Mesyuarat ini adalah bertujuan untuk
membincangkan perlaksanaan program-program yang telah dikendalikan sepanjang
tahun 2018-2019, disamping bertukar-tukar pandangan bagi mempertingkatkan
lagi perancangan dan penyelenggaraan program-program diperingkat MABIMS yang
difikirkan bersesuaian bagi tahun 2020. Mesyuarat ini akan dihadiri oleh
kesemua perwakilan dan empat negara anggota MABIMS iaitu Negara Brunei
Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.
Disamping itu, Bengkel Perkongsian Hubungan Antara Agama-Pengalaman
Republik Singapura juga diadakan. Bengkel ini bertujuan untuk mengongsi
usaha-usaha yang dijalankan oleh Republik Singapura melalui program-program
kepelbagaian orientasi beragama bagi meningkatkan harmonisasi masyarakat di
Republik berkenaan.
Menerusi Bengkel ini juga, peserta Bengkel akan dapat
meningkatkan kefahaman dan pengetahuan akan langkah-langkah yang
digunakan oleh Republik Singapura melalui metodologi dakwah ke arah
mengungkayahkan harmonisasi masyarakat dengan mewujudkan jaringan
multi-lateral dan hubungan antara agama di Republik berkenaan. |