Republik Singapura selaku tuan rumah bagi Mesyuarat
Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Bagi MABIMS Kali Ke-44 telah melaksanakan mesyuarat
tersebut dengan jayanya. Mesyuarat berlangsung selama dua hari bermula pada 12 hingga
13 November 2019 di Hotel Marina Mandarin, Singapura. Mesyuarat kali ini
membawa tema “Masyarakat Islam Gemilang Membawa Rahmat”.
Bersempena dengan tema tersebut, satu Seminar Kertas Tema
telah diadakan pada pagi 12 November 2019 yang mengambil tempat di Capricorn
Room di hotel berkenaan. Setiap negara anggota telah membentangkan kertas kerja
mengikut perspektif negara masing-masing. Hadir selaku tetamu kehormat ialah
Sahibus Samahah Dr. Fatris Bakaram, Mufti Singapura. Seminar juga turut dihadiri
oleh Ketua-Ketua dan delegasi SOM MABIMS serta para jemputan khas dari Majlis
Ugama Islam Singapura. Selepas pembentangan kertas kerja, sesi soal jawab juga
diadakan.
Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Bagi MABIMS Kali
Ke-44 berlangsung disebelah petang di Vanda Ballroom di hotel berkenaan. Yang
Mulia Encik Esa Masood, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)
dalam kata aluannya mengalu-alukan kehadiran Ketua-Ketua dan delegasi SOM MABIMS
dan berdoa semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan membantu untuk
mencapai matlamat yang disasarkan di akhir persidangan nanti.
Mesyuarat selama dua hari itu telah mendengarkan 8 kertas
laporan
bidang kerjasama MABIMS oleh negara penyelaras seperti
berikut:
1.
Memperkasa Kehidupan Beragama. Oleh: BRUNEI
2.
Membangun Potensi Belia. Oleh: INDONESIA
3.
Meningkatkan Taraf Hidup Umat Islam Yang Memerlukan. Oleh: MALAYSIA
4.
Meningkatkan Modal Insan Umat Islam. Oleh: INDONESIA
5.
Meningkatkan Harmonisasi Masyarakat. Oleh: SINGAPURA
6.
Memperluaskan Peranan MABIMS Ke Dunia Luar. Oleh: MALAYSIA
7.
Menyelaras Rukyah dan Takwim Islam MABIMS. Oleh: INDONESIA
8.
Memperkasa Penyelarasan Halal MABIMS. Oleh: MALAYSIA
Seterusnya mesyuarat juga mendengarkan pembentangan dua
(2) buah Kertas Cadangan dan tiga (3) buah Kertas Tambahan yang dibentangkan
oleh Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Republik Singapura;
· Cadangan Program Petukaran Imam dan Da’ie MABIMS. Oleh: BRUNEI.
· Cadangan Persetujuan Mempamer dan Mempromosi Logo Halal Negara Anggota
MABIMS. Oleh: BRUNEI.
· Rancangan Strategik MABIMS Tahun 2021 - 2025. Oleh: BRUNEI.
· Sosialisasi Penyelenggaraan Jaminan Produk Halal. Oleh: INDONESIA.
· Usaha Sepadu Dalam Menyokong Penerima Zakat. Oleh: SINGAPURA.
Mesyuarat ditutup dengan Majlis Makan Malam Bersama Menteri
Bertanggungjawab Bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam Singapura Yang Berhormat Encik
Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad.
Tahun depan Republik Indonesia akan menjadi tuan rumah bagi
Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam,
Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali Ke-19 dan Mesyuarat
Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Bagi MABIMS Kali Ke-45.