MABIMS
mengiktiraf realiti era globalisasi yang melahirkan pelbagai isu-isu yang
kompleks. Isu-isu ini, dengan peredaran waktu, akan menjadi lebih rumit dan
memerlukan usaha dan pengendalian yang shumul daripada semua peringkat
(whole-of-nation) termasuk belia-belia. Oleh yang demikian, amat penting
dibangunkan institusi-institusi serta kepimpinan agama yang berupaya dan
berwibawa bagi belia-belia yang berpotensi menjadi pemimpin.
![]()

Selain itu,
konsep sirah Rasulullah dijadikan model dalam memandu dasar serta
program-program keagamaan bagi mencapai visi membina masyarakat Islam yang
gemilang di samping membawa rahmat kepada seluruh alam. Visi masyarakat Islam
gemilang bagi setiap negara adalah bersandarkan konsep rahmah kepada seluruh
alam, penjagaan hak-hak setiap makhluk serta perlaksanaan moderasi dalam
hal-hal keagamaan (Islam wasathiyyah / mutawasith).
Kita juga
harus santuni dan peka tentang kepelbagaian dalam kehidupan kemasyarakatan agar
kekal inklusif, bagi merealisasikan keharmonian masyarakat sejagat. Tidak dapat
disangkalkan bahawa penubuhan konsep-konsep ini adalah berpaksikan maqasid
syari’ah dalam ajaran Islam.
Dalam era
Globalisasi, kita berhadapan dengan pelbagai isu termasuk cabaran konflik
intra-agama Islam. Oleh itu, sebaiknya diwujudkan ruang dialog dan musyawarah
demi mendapatkan kesepakatan dan jalan pertengahan dalam perbezaan yang ada,
agar tidak menimbulkan perpecahbelahan dan kerosakan pada keharmonian yang ada.

Diharapkan
agar sama-sama kita dapat memperkembangkan penampilan Islam yang santun dan
toleran demi meraih persefahaman dan kesepakatan, serta memperkasa dan
memperkukuh wadah MABIMS.

Demikian
rumusan Seminar Kertas Tema “Masyarakat Islam Gemilang Membawa Rahmat”
bersempena Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Bagi MABIMS Kali Ke-44 di
Republik Singapura.