KONGSI PENGAWALAN COVID 19, DISULAMI DOA, ZIKIR.
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 28 Oktober. - Di Negara Brunei Darussalam (NBD), langkah dan tindakan pencegahan juga mengawal jangkitan wabak COVID-19 itu adalah berpaksikan pandangan profesional perubatan dan kesihatan dengan justifikasi hukum syarak. Alhamdulillah, semua ini adalah berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddinWaddaulah, Sultan dan YangDi-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama,Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) yang bersidang secara maya.
Menurut Yang Berhormat, alhamdulillah dengan pengertian baik orang ramai mengenai justifikasi hukum syarak terhadap nasihat dan aturan-aturan profesional kesihatan, menjadikan keadaan di negara ini berlangsung baik tanpa menimbulkan sebarang tengkarah keagamaan ataupun menjadi isu dalam kalangan masyarakat. Hal sedemikian itu, jelas Yang Berhormat, disulami lagi dengan amalan-amalan keagamaan di peringkat negara dan rakyat khasnya yang berugama Islam dan cara sedemikian telah meredakan rasa cemas juga menghindarkan daripada suasana panik, sebaliknya timbul kesedaran yang tinggi mematuhi panduan dan arahan-arahan mencegah juga mengawal jangkitan sebagai suatu kepatuhan terhadap aturan undang-undang dan kemurnian hukum syarak.
Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi MABIMS yang julung kali diadakan secara maya ini dipengerusikan oleh Menteri Agama Republik Indonesia, Yang Terhormat Bapak Fachrul Razi. Di dalam sesi dialog interaktif Pertemuan MABIMS secara maya itu, Yang Berhorma tmengongsikan pengalaman NBD dan langkah-langkah pengawalan bagi menangani pandemik COVID-19, khususnya mengenai isu-isu yang berkaitan dengan keagamaan dan peribadatan. Kementerian Hal EhwalUgama (KHEU) menggunakan pendekatan-pendekatan agama, seperti merujuk kepada fatwa-fatwa dan dasar-dasar oleh kerajaan yang berkaitan dengan amalan-amalan juga perkhidmatan agama bagi memberikan masyarakat informasi dan penjelasan dalam sidang media juga media massa, seperti keputusan bagi penutupan sementara masjid, surau dan balaiibadat, penutupan sekolah-sekolah Arab dan ugama juga menangguhkan penghantaran jemaah haji pada tahun ini.
Pertemuan MABIMS secaramaya telah dimulakan dengan agenda silaturahim di antara Menteri-menteri Negara Anggota MABIMS, diikuti dengan Sesi Dialog Interaktif secara informaldi antara Menteri-menteri Agama. Selain isu-isu keagamaan semasa, Menteri-menteri Agama juga bertukar-tukar maklumat juga pandangan mengenai penyelenggaraan ibadah Haji dan Umrah juga pelaksanaan dakwah dalam pembinaan umat semasa pandemik COVID-19 ini. Turut hadir selaku delegasi NBD, di Pertemuan MABIMS tersebut, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; dan Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang berserta beberapa pegawai kanan kementerian berkenaan. Terdahulu, sebelum Pertemuan MABIMS peringkat Menteri-menteri Agama, juga berlangsung Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) MABIMS.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Sekretaris Jenderal Kementerian Agama Indonesia, Yang Terhormat Prof. Dr. H.Nizar Ali M.Ag. Mesyuarat dimulai dengan sesi silaturahim di antara Ketua-ketua SOM MABIMS berserta delegasi masing-masing. Mesyuarat peringkat SOM MABIMS membincangkan mengenai dengan pertukaran informasi di bidang keagamaan semasa dalam menangani penularan pandemik COVID-19 dinegara-negara anggota, seperti pelaksanaan ibadah, pelaksanaan akad nikah dan pelaksanaan pendidikan agama. Selain itu, mesyuarat turut membincangkan mengenai draf Rancangan Strategik MABIMS Tahun 2021 - 2025 dan persiapan pelaksanaan Pertemuan MABIMS dan Mesyuarat SOM MABIMS di Republik Indonesia pada Tahun 2021 nanti.
Petikan Pelita Brunei, Keluaran 31 Oktober 2020.