MESYUARAT SECARA MAYA (VIRTUAL MEETING)
Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei
Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS)
dan
Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS
11 Rabiulawal 1442H / 28 Oktober 2020
28 Oktober 2020 – Pertemuan
Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik
Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) bersidang secara maya. Republik
Indonesia selaku tuan rumah bagi Pertemuan MABIMS yang julung kali diadakan
secara maya ini telah dipengerusikan oleh Yang Terhormat Bapak Fachrul Razi,
Menteri Agama Republik Indonesia.
Menurut Menteri
Agama Republik Indonesia ini adalah kali pertama dirinya bersilaturahmi dengan
rakan-rakan sejawat MABIMS pasca beliau dilantik oleh Presiden Jokowi pada
Oktober 2019.
“Sangat
tepat rasanya apabila pertemuan ini kita manfaatkan untuk bersilaturahim guna
mendekatkan diri dan saling kenal untuk memudahkan kerjasama kita selanjutnya.
Selain saling berkenalan, forum ini juga berbagi informasi tentang perkembangan
sosial keagamaan di masa pandemik di negara masing-masing, termasuk
penyelenggaraan haji dan umrah”
Hadir dalam
Pertemuan MABIMS secara maya ini ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato
Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji
Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam. Yang Berhormat
Tuan Haji Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Ugama) Malaysia selaku wakil Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji
Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal
Ugama) Malaysia dan Yang Berhormat Encik Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad,
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri
Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam Republik Singapura.
Pertemuan MABIMS
secara maya ini juga dihadiri oleh Yang Terhormat Bapak Zainut Tauhid Sa’adi,
wakil Menteri Agama Republik Indonesia, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka
Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Negara
Brunei Darussalam, Ketua-Ketua SOM MABIMS, Timbalan-Timbalan Ketua SOM MABIMS,
Ketua-Ketua Sekretariat MABIMS serta delegasi yang terdiri daripada
pegawai-pegawai kanan dari negara-negara anggota MABIMS.
Pertemuan ini dimulakan
dengan agenda silaturrahim diantara Menteri-Menteri Negara Anggota MABIMS dan diikuti
dengan sesi Dialog Interaktif secara informal diantara Menteri-Menteri Agama
berkenaan. Selain isu-isu keugamaan semasa yang dibincangkan dalam dialog ini,
Menteri-Menteri Agama juga bertukar-tukar maklumat dan pandangan mengenai penyelengaraan
ibadah Haji dan Umrah serta Pelaksanaan Da’wah dalam pembinaan umat semasa
pandemik COVID-19 ini.
Yang Berhormat
Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam dalam mengongsikan pengalaman
Negara Brunei Darussalam menangani pandemik COVID-19 berkata;
“Di Negara Brunei
Darussalam, langkah dan tindakan pencegahan serta pengawalan jangkitan wabak
COVID-19 adalah berpaksikan pandangan professional perubatan dan kesihatan
dengan justifikasi hukum syarak.”
“Alhamdulillah,
semua ini adalah berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan
dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.”
“Dengan pengertian
baik orang ramai mengenai justifikasi hukum syarak terhadap nasihat dan aturan-aturan
professional kesihatan, menjadikan keadaan negara ini berlangsung baik tanpa
menimbulkan sebarang tengkarah keagamaan atau pun menjadi isu dalam kalangan
masyarakat.”
“Cara sedemikian
itu telah meredakan rasa cemas dan menghindarkan daripada suasana panik,
Sebaliknya timbul kesedaran yang tinggi mematuhi panduan dan arahan-arahan
mencegah dan mengawal jangkitan sebagai suatu kepatuhan terhadap aturan
undang-undang dan juga terhadap kemurniaan hukum syarak.”
Yang Berhormat
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia dalam
ucapan pengenalannya mengharapkan;
“Pertemuan seperti
ini adalah amat penting diadakan supaya kita boleh mendengar secara langsung
dan berkongsi pengalaman sesama kita, terutama dalam perkara yang melibatkan
kepentingan umat Islam diperingkat negara masing-masing khasnya dan rantau ini
amnya.”
Seterusnya
mengongsikan faktor kejayaan Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19;
“Krisis getir yang
menguji kebertanggungjawaban kerajaan Malaysia kepada rakyat adalah COVID-19.
Namun, berkat kesungguhan kerajaaan dengan dokongan para barisan hadapan,
penjawat awam, sukarelawan dan disiplin rakyat, Malaysia telah berjaya
mengharungi krisis ini dengan baik.”
“Antara faktor
yang menyumbang kepada kejayaan kerajaan Malaysia ialah ketegasan dalam
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dengan menutup semua sektor sehingga
tiada langsung pergerakan. Ini antara langkah awal yang diambil kerajaan bagi
membendung penularan wabak COVID-19 demi menjaga keselamatan dan nyawa rakyat.
Sementara Yang
Berhormat Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Masyarakat Islam Republik
Singapura berkata;
“Saya yakin
rantau kita dan penduduknya akan terus berkembang dengan lebih kuat sedang kita
berpegang kepada semangat inklusif dan daya tahan kita… Terharu negara MABIMS
tangkas bertindak mengeluarkan fatwa serta nasihat agama yang bersesuaian
dengan konteks negara masing-masing sambil mengutamakan kemaslahatan
masyarakat. Berkat usaha ini, masyarakat Islam di rantau ini dapat meneruskan
kewajipan agama secara selamat.”
“Sama-sama
kita bina badan ilmu pengetahuan bersama supaya masyarakat Islam di rantau ini
semakin berdaya tahan, bersikap inklusif dan cekap menyumbang kepada masyarakat
dan negara.”
Terdahulu sebelum
Pertemuan MABIMS diadakan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS juga telah
berlangsung secara maya yang dipengerusikan oleh Yang Terhormat Prof. Dr. H.
Nizar Ali M.Ag., Sekretaris Jenderal Kementerian Agama Indonesia.
Mesyuarat dimulai
dengan sesi silaturrahmi diantara Ketua-Ketua SOM MABIMS beserta delegasi
masing-masing.
Mesyuarat SOM
MABIMS dihadiri oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim,
Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam. Yang Berbahagia
Datuk Haji Abdul Aziz bin Jusoh, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) menanggung
kerja Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Malaysia dan
Yang Mulia Tuan Esa Masood, Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura
(Muis), Republik Singapura.
Turut hadir di
mesyuarat ini Ketua-Ketua Sekretariat MABIMS dan pegawai-pegawai kanan dari
negara-negara anggota.
Mesyuarat
diteruskan dengan perbincangan mengenai pertukaran informasi di bidang
keugamaan semasa dalam menangani penularan pandemik COVID-19 di negara-negara
anggota seperti perlaksanaan ibadah, perlaksanaan akad nikah dan perlaksanaan
pendidikan agama. Selain itu, mesyuarat turut membincangkan mengenai draf
Rancangan Strategik MABIMS Tahun 2021 – 2025 dan persiapan perlaksanaan pertemuan
MABIMS dan Mesyuarat SOM MABIMS di Republik Indonesia pada 2021 nanti.