˄

28.08.2019
SERTAI PROGRAM LEADERSHIP TRAINING BELIA MABIMS DI INDONESIA



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Ogos. – Seramai enam peserta Negara Brunei Darussalam akan menyertai Program Leadership Training Belia MABIMS yang akan bermula pada 27 hingga 30 Ogos nanti di Bandungan, Semarang, Jawa Tengah, Republik Indonesia.

 

Peserta akan diketuai oleh pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Amalhayati binti Haji Amit selaku Ketua Rombongan dan Awang Mohamad Hazrin bin Daud.

 

Juga menyertai rombongan, para belia dan beliawanis daripada Kumpulan Belia Da'ie dan Kumpulan Belia Masjid, iaitu Awang Ahmad Rashidi bin Haji Ansanawi, Awang Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin, Awang Khairul Nazih Wa'ie bin Zakeria dan Dayang Siti Hurul-Ain Diyana binti Haji Abdul Majid @ Vieana.

 

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh.

 

Program di bawah Bidang Kerjasama MABIMS, iaitu 'Membangun Potensi Belia' ini akan menekankan aspek 'Millennial Leadership' yang memerlukan kepada pendekatan baharu dalam bidang kepimpinan, antaranya memahami ciri-ciri generasi millennia, berbanding dengan generasi-generasi sebelumnya dan menghadapi cabaran terhadap generasi millennia, terutama sekali yang berkaitan dengan teknologi, komunikasi, media sosial, peningkatan dan pengawalan stres juga isu kesihatan.

 

Selain itu, program juga menekankan aspek ke arah meningkatkan keupayaan fizikal dan mental yang diperlukan sebagai generasi millennia dan menguatkan kematangan emosi juga jiwa generasi millennia dalam sudut pandang mereka terhadap budaya dan agama.

 

Program yang dilaksanakan sejak tahun 2006 di bawah bidang kerjasama ini diterajui oleh Republik Indonesia sebagai negara penyelaras dan merupakan program berkumpulan yang disertai oleh belia-belia dari empat negara anggota MABIMS, iaitu Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

 

Menerusi program seumpama itu diharap para peserta akan dapat memanfaatkan dapatan daripada program berkenaan, bukan saja pada diri mereka sendiri, bahkan mengongsikannya kepada organisasi yang diwakili ke arah melahirkan golongan belia (generasi millennia), berpotensi untuk menjadi pemimpin berwibawa pada masa hadapan.

 

Petikan Pelita Brunei Keluaran Rabu, 28 Ogos 2019.

Attachments